Tatakerja

Untuk mencapai tujuan yang termaktub dalam Piagam MABBIM dan untuk menjalankan fungsinya sebaik-baiknya, ketiga-tiga pihak negara anggota bersetuju menerima tatakerja berikut:

Tugas Majlis

Majlis mempunyai tugas sebagai yang berikut:

  • Menentukan tatakerja, rencana dan pelaksanaan kerja MABBIM.
  • Menyusun pelbagai pedoman dan panduan yang berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan bahasa
  • Menerima keputusan Sidang Eksekutif.
  • Merencanakan kegiatan kebahasaan lain yang sesuai dengan semangat Piagam MABBIM.

Sidang Majlis

  • Sidang Majlis terdiri daripada Seminar Kebahasaan MABBIM dan Sidang Eksekutif.
  • Sidang Majlis diadakan sekali setahun di negara anggota secara bergilir-gilir dengan jarak waktu sepuluh hingga dua belas bulan dan lamanya kira-kira lima hari.

Sidang Eksekutif

  • Sidang Eksekutif adalah Sidang yang dihadiri oleh wakil-wakil rasmi dari negara-negara anggota.
  • Peserta Sidang Eksekutif terdiri daripada Ketua Perwakilan/Perutusan, Setiausaha/Sekretaris, dan sebanyak-banyaknya dua orang anggota Panitia Kerja Sama Kebahasaan/Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu.
  • Sidang Eksekutif diselenggarakan dan dipimpin oleh Ketua Perwakilan/Perutusan tuan rumah.
  • Sidang Eksekutif hendaklah meneliti dan menerima daftar istilah yang disepakati dalam Sidang Pakar.
  • Sidang Eksekutif hendaklah menyusun dan menetapkan rencana kerja Majlis.
  • Sidang Eksekutif boleh mengundang nara sumber untuk menyumbangkan kepakaran yang diperlukan.
  • Sidang Eksekutif boleh mengundang peserta Sidang yang tidak menjadi anggota Eksekutif dan/atau wakil badan rasmi menghadiri Sidang Eksekutif sebagai pemerhati
  • Sidang Eksekutif menetapkan waktu, tempat dan tema Seminar Kebahasaan. Tempat dan waktu Sidang Eksekutif ditentukan dalam Sidang sebelumnya. Bahasa pengantar Sidang Eksekutif ialah bahasa Melayu/Indonesia.

Bahan Sidang Eksekutif

  • Bahan Sidang Eksekutif disediakan oleh Jawatankuasa Tetap/Panitia negara tuan rumah, bahan hendaklah dikirim oleh negara anggota kepada negara tuan rumah selambat-lambatnya dua bulan sebelum Sidang Eksekutif berlangsung
  • Bahan seminar diusahakan supaya diterima oleh Panitia/Jawatankuasa Penyelenggara dua bulan sebelum Sidang Majlis berlangsung.

Sidang Pakar

  • Sidang Pakar adalah pertemuan para pakar dari berbagai-bagai bidang ilmu dari negara anggota MABBIM, seperti yang telah ditetapkan oleh Sidang Eksekutif.

Tugas dan Penyelenggaraan Sidang Pakar

  • Sidang Pakar mempersiapkan, mengolah, dan menyusun tataistilah bidang ilmu menurut Panduan Penyusunan Daftar Istilah dan Panduan Penyusunan Kamus Istilah sesuai dengan arahan Sidang Eksekutif.
  • Sidang Pakar bersidang sekali setahun di negara anggota secara bergilir-gilir dengan jarak waktu sepuluh hingga dua belas bulan lamanya, kira-kira lima hari.
  • Sidang Pakar diselenggarakan dan dipimpin oleh anggota Panitia Kerja Sama Kebahasaan, Indonesia/Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu, Malaysia
  • Tempat dan waktu Sidang Pakar ditentukan pada Sidang Eksekutif.
  • Bahasa pengantar Sidang Pakar ialah bahasa Melayu/Indonesia.

Tatakerja Kelompok Pakar

  • Taksonomi bidang hendaklah terlebih dahulu ditentukan oleh Kelompok Pakar dan hendaklah dipertukarkan dengan anggota kelompok pakar negara-negara anggota.
  • Perlulah ada kesepakatan dalam hal taksonomi antara ketiga-tiga negara sebelum kerja selanjutnya dijalankan.
  • Istilah-istilah bahasa Inggeris hendaklah dikumpulkan berasaskan taksonomi yang disetujui, dan daftar istilah hendaklah dipertukarkan sebelum Sidang Pakar diadakan.
  • Istilah-istilah yang dikumpulkan hendaklah berdasarkan pengkhususan bidang atau subbidang dan tidak termasuk kata am dan istilah dari bidang lain walaupun istilah itu digunakan oleh bidang berkenaan. Untuk tujuan ini kelompok pakar hendaklah merujuk kepada dokumen Panduan Penyusunan Daftar Istilah dan Panduan Penyusunan Kamus Istilah
  • Bahan-bahan rujukan hendaklah disediakan sendiri oleh Kelompok Pakar dalam usaha mengenal pasti makna istilah.
  • Sumber-sumber rujukan seperti kamus-kamus Melayu, Indonesia, Inggeris, baik yang ekabahasa mahupun yang dwibahasa, untuk penggunaan Sidang Pakar, hendaklah disediakan oleh negara tuan rumah.
  • Kemudahan/Fasilitas lain untuk melicinkan kerja-kerja peristilahan hendaklah disediakan oleh negara tuan rumah.
  • Pendamping bahasa hendaklah disediakan oleh negara tuan rumah untuk membantu Kelompok Pakar dari segi bahasa.
  • Penyelarasan istilah hendaklah diselesaikan oleh Kelompok Pakar dalam jangka masa yang ditetapkan, iaitu dalam dua kali Sidang Pakar bagi sesuatu subbidang.
  • Jika ada baki istilah yang tidak dapat diselesaikan, maka Kelompok Pakar hendaklah menyelesaikannya di negara masing-masing dan penyelarasan antara negara dilakukan secara surat-menyurat.

Penyelenggaraan Seminar Kebahasaan

  • Seminar kebahasaan diadakan sebagai kegiatan Sidang Majlis.
  • Seminar kebahasaan diselenggarakan oleh negara tuan rumah Sidang Majlis.
  • Seminar kebahasaan membincangkan kira-kira 10 kertas kerja : empat dari negara tuan rumah dan tiga bagi tiap-tiap negara anggota yang lain
  • Tema seminar hendaklah ditentukan oleh Sidang Eksekutif atas usul negara tuan rumah.
  • Bahan seminar hendaklah disampaikan kepada negara tuan rumah dua bulan sebelum Sidang Majlis.