Biodata – Prof. Dr. Amran Halim, M.A

Beliau dilahirkan di Bengkulu pada 25 Ogos 1929. Beliau memperoleh Master of Arts in Linguistics (1958) dan Doctor of Philosophy in Linguistics (1969) daripada University of Michigan, Amerika Syarikat.

Prof. Dr. Amran berpengalaman sebagai guru (1953-1958), sebagai Dosen Bahasa Inggeris (1958-1961), dan sejak 1961 sebagai Dosen Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Universitas Sriwijaya, Palembang. Sejak 1980, beliau menjawat jawatan Pembina Utama/Guru Besar Ilmu Linguistik (Golongan IV / e) di Universiti yang sama.

Peranan yang dimainkan oleh Prof. Dr. Amran dalam kegiatan kebahasaan di Indonesia amat besar. Sejak 25 tahun kebelakangan ini, beliau menjadi Direktor Lembaga Penelitian dan Pengajaran Bahasa, Universitas Sriwijaya (1970-1975); Pemimpin Balai Bahasa Pusat di Departmen Pendidikan dan Kebudayaan, Jakarta (1972-1975); Kepala Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Departmen Pendidikan dan Kebudayaan, Jakarta (1975-1984); dan sebagai Rektor Universitas Sriwijaya, Palembang (1986-1994). Selain itu, beliau dilantik sebagai Anggota Majelis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR-RI); Utusan Daerah Sumatera Selatan (1993-kini); Anggota Governing Board untuk Indonesia, SEAMEO Regional English Language Centre (1972-1984); Ketua (Indonesia) Majelis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM-kini MABBIM, 1972-1984); dan sebagai Ketua Panitia Pengembangan Bahasa Indonesia, Departmen Pendidikan dan Kebudayaan, Jakarta (1972-1984).

Di samping kegiatan kebahasaan, Prof. Dr. Amran bergiat cergas di Jabatan Kemasyarakatan sebagai Ketua Pengurus Besar Persatuan Guru Republik Indonesia (PGRI, 1979-1986); wakil Ketua Dewan Pertimbangan Golongan Karya Daerah Tingkat I Sumatera Selatan (1992-1996); Anggota Dewan Pembina Persatuan Guru Republik Indonesia (PGRI) Daerah Tingkat I Sumatera Selatan (1986-kini); Ketua IV Dewan Harian Daerah Angkatan – 45 Sumatera Selatan (1993-kini); dan Pembina/Anggota Himpunan Pembina Bahasa Indonesia, Jakarta (1975-kini). Sebagai penghargaan atas jasa-jasa tersebut, beliau dianugerahkan Satyalancana Peristiwa Perang Kemerdekaan Kedua, dan Satyalancana karya Satya Kelas I.