Biodata – Dato Dr. Haji Hassan Bin Ahmad

Dato’ Dr. Haji Hassan bin Ahmad dilahirkan pada 8 Disember 1936 di Muar, Johor. Beliau memperoleh Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Malaya (1962), dan Doktor Falsafah (Universiti Leiden, 1999). Beliau pernah bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah Pontian, Johor (1962-1963). Kemudian beliau bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Penyelidik (1963-1964), Pegawai Penyelidik Kanan (1964-1968), Timbalan Pengarah DBP (1971-1976) dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pengarah DBP (1976-1988). Beliau dilantik menjadi Wakil Tetap/Duta Malaysia ke UNESCO, Paris pada 1988 hingga 1994. kini beliau menerajui Yayasan Karyawan sebagai Ketua Eksekutif.

Dato’ Dr. Haji Hassan bin Ahmad bergiat dalam aktiviti sastera, bahasa dan penulisan sejak tahun 1960-an lagi. Antara lain, beliau menjadi Setiausaha (1960), dan kemudian Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (1961); Ketua Satu Persatuan Penulis Nasional (PENA, 1966-1967), Pengerusi Panel Hadiah Sastera Malaysia (1971-1988); Pengerusi Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia (JKTBM) (1976-1988); Timbalan Pengerusi Anugerah Sastera Negara (1981-1988); Pengerusi Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan Malaysia (MKBK, 1981-1988); ahli Tribunal Hak Cipta Malaysia (1987); ahli Penasihat Kebangsaan Berkenaan Kebudayaan (1988-1990) dan Ahli Jawatankuasa Insitut Akhbar Malaysia.

Di peringkat antarabangsa, Dato’ Dr. Haji Hassan bin Ahmad pernah dilantik menjadi Pengerusi Conference of South East Asian Publishers (1972); Pengerusi Bersama Mabbim (1976-1988); Pengerusi Bersama SEA Write Award (1979-1988); dan ahli Penggubal Kurikulum Penerbitan Buku (UNESCO) Kawasan Asia Pasifik (1984).

Dato’ Dr. Haji Hassan bin Ahmad banyak menyumbangkan idea tentang sastera, bahasa dan penerbitan. Sebahagian daripada idea tersebut dimuatkan di dalam buku Bahasa, Sastera, Buku: Cetusan Fikiran Hassan Ahmad (DBP, 1988) . Selain itu, beliau menulis beberapa buah buku yang lain, antaranya Bangsa-Bangsa Bersatu dan Sebutan Baku dalam Bahasa Malaysia Baku; Asas Pembinaan Tamadun (Persatuan Linguistik Malaysia/Sasbadi, 1989); Language Policy and Political Development (Thinkers Library, 1990), dan Imbasan (DBP, 2000). Buku lain hasil usaha beliau ialah buku-buku terjemahan.

Dato’ Dr. Haji Hassan bin Ahmad dianugerahkan Pingat Kesatria Mangku Negara (KMN, 1973), dan Bintang Datu Setia Ismail Johor (DSIJ, 1979).