Biodata – Dato Paduka Haji Alidin Haji Othman

Dato Paduka Haji Alidin bin Haji Othman lahir pada 15 Januari 1947, berkelulusan Bachelor of Arts (Malaya). Beliau juga pernah mengikuti Kursus Penulisan Berita di BBC dan Kursus Pengurusan Personel di Sektor Awam di INTAN.

Dato Paduka Haji Alidin ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam sejak Oktober 1995. Sebelum itu beliau pernah berkhidmat di Radio Televisyen Brunei (RTB) sebagai Pegawai Penyiaran dan Penerangan Daerah (1972-1979) dan sebagai Ketua Berita dan Ehwal Semasa (1979-1982); kemudian berpindah ke Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei sebagai Pegawai Bahasa Kanan (1982-1985).

Beliau kembali semula ke RTB sebagai Timbalan Pengarah RTB (1985-1991) dan kemudian dilantik menerajui RTB sebagai Pengarah selama enam tahun (1991-1995).
Dato Paduka Haji Alidin merupakan tokoh bahasa dan sastera yang terkenal bukan sahaja di Brunei Darusslam, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Beliau sering diundang bagi membentangkan kertas kerja dalam seminar dan persidangan di dalam dan di luar negara seperti di Persidangan ABU, Persidangan AIBD, Pertemuan Dunia Melayu, Melaka (1982), Simposium Unsur Melayu dalam Komanwel, Kuala Lumpur (1998), dan Syarahan Raja Ali Haji, Kuala Lumpur (1999).

Sejak tahun 1984, beliau menjadi Ketua Perwakilan Sidang Mabbim memimpin delegasi Brunei Darussalam ke persidangan Mabbim yang diadakan di Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Beliau turut terlibat sebagai Ketua Perwakilan Sidang Pakar Mabbim yang diadakan di Jogjakarta (1998) dan di Bandar Seri Begawan (1999). Di samping menghasilkan pelbagai kertas kerja dalam bidang Bahasa dan Sastera, beliau giat menulis skrip radio dan televisyen, rencana umum, lirik lagu dan buletin PENYIAR.