Sejarah

Bahasa Melayu/Indonesia Sebelum MABBIM
Bahasa Melayu/Indonesia merupakan bahasa serumpun yang berasal daripada rumpun Austronesia. Dilihat dari segi warna kulit, rupa, dan budaya bangsa masyarakat penuturnya, dan struktur serta kosa kata bahasanya, memang tidak syak lagi bahawa bahasa Melayu/Indonesia mempunyai banyak persamaan. Namun, kedatangan Inggeris dan Belanda pada 1824 (Perjanjian Inggeris-Belanda 1824) telah membahagikan bahasa dan bangsa serumpun ini kepada tiga sempadan geografi dan politik yang ketara.

Menyedari peri pentingnya bahasa serumpun ini disatukan semula bagi memastikan kelancaran komunikasi budaya, ilmu, dagang, ekonomi, teknologi, dan lain-lain, antara negara yang menuturkan bahasa Melayu /Indonesia, dan melihatkan peranan yang akan dimainkan oleh bahasa Melayu dan bahasa Indonesia di Asia Tenggara, dan di seluruh dunia, maka gagasan penubuhan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) diutarakan. Gagasan yang muncul seawal 1950-an ini mempunyai wawasan untuk menyatukan bahasa serumpun ini.

Titik permulaan bagi merealisasikan hasrat ini ialah pertemuan antara Jawatankuasa Kerjasama Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia pada 4-7 Disember 1959. Malaysia diwakili Tun Syed Nasir, manakala Indonesia pula diwakili Dr. Slamet Mulyana. Hasilnya ialah Sistem Ejaan Malindo yang pelaksanaannya dirancangkan pada Januari 1962.

Perjanjian Inggeris-Belanda

Namun, konfrontasi Indonesia-Malaysia menyebabkan pelaksanaannya tertunda sehingga 7 September 1966. Seterusnya, pada 27 Jun 1967 Jawatankuasa Ejaan Malaysia dan Tim Ahli Bahasa KOTI dari pihak Indonesia mencapai keputusan untuk mewujudkan Sistem Ejaan Baru yang praktis, ekonomis, dan ilmiah.

Penubuhan MABBIM
Langkah penting untuk menggerakkan keputusan mewujudkan Sistem Ejaan Baru, selain mengadakan pertemuan/rapat yang membahaskan hal-hal linguistik berhubung dengan penyeragaman ejaan Indonesia-Malaysia, seperti aspek penyelarasan vokal, diftong, konsonan, susunan dan jumlah abjad, penyukuan kata, partikel, klitik, kata ulang, kata majmuk, tanda baca, pengimbuhan, dan lain-lain, ialah menghasilkan Pernyataan Bersama, Malaysia-Indonesia.

Dalam kunjungan Menteri Pelajaran Malaysia Encik Hussein Onn ke Jakarta, pada 23 Mei 1972, suatu perundingan dengan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia, Bapak Mashuri bagi menghasilkan Pernyataan Bersama berhubung dengan usaha bersama untuk mengembangkan bahasa kebangsaan masing-masing yang meliputi aspek ejaan, istilah, dan tatabahasa telah diadakan. Rundingan ini seterusnya membawa kepada persetujuan dan penandatanganan Pernyataan Bersama Indonesia-Malaysia.

Sebagai lanjutan daripada Pernyataan Bersama yang disepakati pada 23 Mei 1972 di Jakarta, maka suatu persidangan telah diadakan antara Panitia Ejaan Bahasa Indonesia dengan Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu Malaysia, pada 20-22 Jun 1972 di Jakarta. Persidangan ini bertujuan untuk menyempurnakan ejaan yang dipakai di kedua-dua negara berdasarkan perkembangan di kedua-dua negara pada ketika itu, menyemak semula persetujuan mengenai ejaan bersama yang dicapai pada 27 Jun 1967, dan bertukar-tukar fikiran mengenai masalah bersama dalam bidang bahasa secara umum.

Lanjutan daripada Pernyataan Bersama 23 Mei 1972, dan pertemuan Panitia Ejaan Indonesia/Malaysia pada 20-22 Jun 1972, maka tertubuhlah Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM), di Kuala Lumpur, pada 29 Disember 1972.

Setelah selesainya usaha penyeragaman ejaan, maka usaha ditumpukan oleh kedua-dua negara anggota MBIM terhadap penyelarasan istilah dalam pelbagai bidang ilmu; tumpuan diberikan pada ketika itu terhadap bidang sains asas, seperti biologi, kimia, fizik, selain bidang sains kemasyarakatan.

Sama seperti usaha penyeragaman ejaan, sebelum penyelarasan istilah dibuat, kajian dan penelitian dibuat oleh ahli-ahli bahasa dari kedua-dua negara anggota bagi menyediakan Pedoman Pembentukan Istilah terlebih dahulu. Hasilnya, terbitlah buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu pada 1975, dan Panduan Penyusunan Kamus Istilah pada tahun 1982.

Sesungguhnya terlalu besar jasa bakti yang disumbangkan oleh ahli-ahli bahasa daripada kedua-dua negara anggota yang telah merintis jalan menyediakan Pedoman Sistem Ejaan Baru dan Pedoman Pembentukan Istilah demi penyatuan bahasa serantau. Antara tokoh bahasa yang perlu dirakamkan namanya dan diberikan penghargaan atas sumbangan bakti mereka yang tidak ternilai ialah Profesor Dato’ Dr. Asmah Haji Omar, dan Dato’ Haji Hassan Ahmad dari Malaysia, Profesor Dr. Anton M. Moeliono, dan Profesor Dr. Amran Halim dari Indonesia.

Bagi memastikan usaha penyelarasan istilah terus bergerak bersesuaian dengan keperluan zaman, sidang/rapat antara kedua-dua negara anggota MBIM diadakan dua kali setahun, dan tempatnya diadakan secara bergilir-gilir, sama ada di Malaysia atau di Indonesia. Dalam usaha penyelarasan istilah dalam pelbagai bidang, pakar-pakar bidang diikutsertakan dalam perbahasan istilah bidang yang berkenaan. Sidang dua kali setahun ini berlangsung di negara anggota MBIM sehinggalah pada 8 November 1985, apabila Negara Brunei Darussalam menjadi anggota baharu Majlis, pada Sidang Ke-24 di Jakarta. Dengan demikian, tertubuhlah Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia, atau MABBIM. Setelah tertubuhnya MABBIM pada 1985, sidang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Sidang Majlis dan Sidang Pakar. Sidang Majlis diadakan sekali setahun, biasanya pada bulan Mac, manakala Sidang Pakar pula diadakan sekali setahun, biasanya pada bulan September. Tempat sidang digilir-gilirkan antara negara anggota. Sidang Majlis membahaskan perkara dasar MABBIM, seperti hal-hal yang berkaitan dengan pedoman bahasa, tatacara kerja sidang, dan Rancangan Lima Tahunan MABBIM. Sidang Pakar pula membahaskan khusus hal-hal penyelarasan istilah dalam bidang/subbidang tertentu.

Sesungguhnya, bagi menterjemahkan Pernyataan Bersama 23 Mei 1972, dan Piagam MABBIM, bukan sekadar gagasan dan pemikiran tokoh-tokoh bahasa sahaja yang diperlukan, tetapi pakar-pakar bidang daripada pelbagai disiplin terpaksa digemblengkan. Memang tidak dinafikan bahawa dalam konteks ini, MABBIM secara tidak langsung telah turut membina tokoh peristilahan di kalangan pakar bidang ilmu yang mempunyai semangat juang yang tinggi dalam kebahasaan, khususnya bahasa Melayu/Indonesia.